Monday, December 6, 2010

Kisah Perhimpunan Agung di Hadiratul Quddus

Diriwayatkan setelah semua manusia yang layak memasuki syurga sudah memasuki syurga, pada satu hari yang ditentukan, Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail membawa ahli syurga ke satu perkampungan yang bernama Hadiratul Quddus. Hadiratul Quddus terletak di dalam syurga yang bernama Syurga Khuldi, iaitu suatu alam dan tempat yang cuma diketahui kedudukannya oleh Allah SWT sahaja.

Apabila malaikat Jibrail dan rombongan ahli syurga yang ramai itu sampai di pintu masuk Syurga Khuldi, maka muncullah malaikat yang menjadi pengawal syurga itu, lalu bertanya: "Apakah bicara dan kehendak tuan bersama rombongan manusia yang ramai ini ke perkampungan syurga ini yang tidak pernah dijejaki oleh seorang manusiapun."

Lalu Jibrail menjawab: "Aku diperintahkan oleh Allah SWT, pentadbir seluruh alam untuk menghantar tetamu-tetamuNya dari orang-orang yang bernasib baik bagi menduduki Hadiratul Quddus"

Setelah mendengar kata-kata perintah dari Jibrail, maka malaikat yang mengawal pintu Syurga Khuldi itu dengan segera membuka pintunya dan membenarkan Jibrail dan ke semua tetamu Allah SWT tersebut menuju ke perkampungan syurga Hadiratul Quddus.

Malaikat Jibrail pun masuk ke dalam syurga itu lalu menaiki ke satu puncak mahligai yang tinggi lantas berkata: "Wahai Muhammad, masuklah tuan hamba bersama para nabi, para sahabat dan sekalian manusia yang menjadi calon penghuni syurga ke taman Hadiratul Quddus ini untuk menikmati segala kemewahan yang telah dijanjikan Allah SWT dahulu. Maka masuklah Rasulullah dan sekelian tetamu Allah SWT yang lain ke dalam taman itu lalu menaiki kenderaan khas yang disediakan.

Apabila mereka melalui jalan di dalam taman syurga itu, tiba-tiba berundurlah ke belakang dengan sendirinya segala pohon kayu kecil dan besar yang menghiasi taman itu untuk memberi hormat kepada rombongan tersebut. Sepanjang perjalanan mereka diperlihatkan permandangan taman yang indah lagi mengkagumkan, melalui bangunan serta mahligai yang diperbuat dari emas, perak, batu delima serta lain-lain. Pendek kata, Hadiratul Quddus memiliki mahligai yang bertaburan dalam suasana yang terlalu permai dan amat menyenangkan.

Pada pintu setiap mahligai tersebut sudahpun tertulis nama penghuni yang bakal memilikinya manakala di dalamnya menunggu dengan wajah kerinduan akan para bidadari yang amat jelita, menunggu dengan penuh sabar akan saat pertemuan yang sudah terlalu hampir akan kedatangan suami mereka yang bakal menjadi penghuni dan raja di dalam mahligai tersebut.

Setelah beberapa lama mengelilingi Hadiratul Quddus, malaikat Jibrail lalu membawa ke semua ahli syurga berkenaan berkumpul untuk menghadiri satu upacara perhimpunan agung. Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail untuk membentangkan satu hamparan permaidani, maka duduklah para tetamu Allah SWT itu berehat dengan penuh gembira dan selesa sekali. Seketika kemudian Allah SWT pun memerintah para malaikat: "Berikan makan kepada waliKu". Muncullah para pelayan membawa pelbagai hidangan istimewa. Semakin banyak dimakan, semakin terasa lazat rasanya. Setiap suap tidak sama rasanya. Mereka terus menikmati hidangan makanan dengan sepuas-puasnya. Setelah makan, Allah SWT memerintahkan: "Berikan minum pada hamba-hambaKu". Maka para tetamu Allah SWT tersebut diberi minuman yang rasa airnya bertambah lazat pada setiap teguk.

Setelah para tetamu Allah SWT tersebut menikmati jamuan di hari pertama mereka dikumpulkan beramai-ramai, Allah SWT pun memerintah malaikat Jibrail supaya manghadiahkan kepada mereka pakaian-pakaian syurga. Tubuh badan mereka disaluti dengan pelbagai perhiasan yang amat baik dan terlalu tinggi nilainya samada perhiasan cincin emas yang bertatah batu-batu delima atau berlian yang terlalu ajaib dan menakjubkan. Setiap cincin yang dipakai oleh tetamu Allah SWT itu tersurat kalimah-kalimah tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT. Mereka juga dihiasi dengan mahkota syurga yang dihiasi dengan batu-batu permata yang bergemerlapan.

Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail menghantar pula bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Maka muncullah seekor burung yang sangat ajaib rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di dalam taman syurga yang permai itu, sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi kepala mereka. Maka terpeciklah bau-bauan yang sangat harum hasil dari sayap-sayap burung ajaib tersebut lalu merenjis pada tubuh dan pakaian setiap tetamu Allah SWT yang hadir pada majlis itu. Maka bertambah harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Alangkah tercengangnya para tetamu Allah SWT itu melihat dan mengalami kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah SWT itu, sebagai janji kesenangan dan kebahagian yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam akhirat nanti.

Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah sebuah mimbar yang diperbuat daripada Nur. Malaikat Jibrail mara di tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa AS naik ke atas mimbar tersebut untuk membaca kitab Taurat. Nabi Musa AS pun memperdengarkan bacaan Taurat dengan bacaan yang lembut dan jelas didengar oleh sekelian hadirin. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput pula nabi Isa AS naik ke atas mimbar untuk membaca kitab Injil seperti yang pernah diturunkan ke atas baginda oleh Allah SWT. Setelah nabi Isa AS memperdengarkan bacaannya, tibalah giliran nabi Daud AS pula untuk membaca kitab Zabur. Bagindapun memperdengarkan bacaan kitab Zabur dengan suara yang amat merdu hingga terpegunlah sekelian tetamu Allah SWT pada hari itu. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput Rasulullah SAW naik ke atas mimbar untuk memperdengarkan Al Quran. Rasulullah SAW pun membaca Al Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh sebarang manusia sebelum ini.

Setelah selesai pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah SWT pada umat manusia, maka tiba-tiba terdengarlah satu suara paling merdu memenuhi ruang syurga yang terbentang luas itu. Suara itu merupakan firman dari Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh sekelian ahli syurga tersebut. "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu, dan kini kamu boleh meminta niscaya aku akan berikan permintaanmu". Jawab ahli syurga: "Kami minta ridhoMu. kami minta ridhoMu." dua tiga kali. Dijawab oleh Allah SWT: "Aku ridho kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima."

Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia sekehendak Allah SWT, maka segera mereka bersujud kepada Allah SWT sehingga Allah SWT menyuruh mereka: "Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat."

Maka disitu mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arasy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: "Kamu kini lebih elok dari yang biasa."

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment