Powered By Blogger

Monday, December 13, 2010

Tajdid Iman: Insan dikasihi tuhan peka terhadap dosa, maksiat

MENGAPA seorang suami begitu sayang kepada isteri dan sebaliknya? Mengapa pula anak-anak yang salih rela menanggung susah menjaga kedua ibu bapa? Mengapa kita mahu berkorban untuk mengikat tali persaudaraan dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat seperjuangan? Mengapa dunia ini aman dan damai, walaupun berbilang bangsa dan kaum, adat dan kepercayaan manusia? Jawabnya hanya satu iaitu kerana rahmat Allah SWT diturunkan ke atas dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ‘Allah Taala memiliki seratus rahmat. Satu di antaranya diturunkan untuk sekalian makhluk hingga mereka berkasih-kasihan sesama mereka. Sembilan puluh sembilan lagi disimpan untuk hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Jika kita kehilangan rasa ingin mencintai, sesungguhnya rahmat Allah SWT itu tercabut dari hati. Isteri yang membenci suaminya atau sebaliknya, anak yang derhaka kepada kedua orang tua, orang yang bengis dan kasar, angkuh lagi sombong, zalim kepada sesama manusia, mereka ini terkeluar daripada senarai pilihan orang yang mendapat limpahan rahmat Allah. Bukankah Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi." (Muttafaqun Alaih)

Sesungguhnya, rahmat Allah SWT meliputi seluruh alam. Dia tidak pernah jemu mencintai makhluk-Nya. Sehingga tertulis di dalam kitab yang tersimpan di 'Arasy, kalimah yang agung ketika Dia mencipta sekalian makhluknya yang bermaksud: "Sesungguhnya rahmat (kasih sayang-Ku) mengalahkan kemurkaan-Ku." (Riwayat Muslim).

Apakah tanda yang menunjukkan cinta Allah SWT bertapak di hati hamba-Nya?

Hati suka kepada kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Definisi makruf dan mungkar hanya dapat difahami melalui ilmu dan kajian. Orang yang berilmu adalah hamba yang paling dekat dengan Allah SWT. Dengan ilmunya itu mereka bertambah takut kepada Allah SWT. Orang yang dikasihi Allah SWT hatinya sentiasa sibuk menilai, menimbang, mengkaji dan menghisab diri sendiri berdasarkan ilmu dan kefahaman agamanya. Tiada masa untuk menilik aib orang lain. Ramai manusia mencari ilmu, tetapi apakah wujud tanda ilmunya itu bermanfaat? Jawapannya ya, jika kita mengkaji hadis Rasulullah SAW mengenai perangai penuntut ilmu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya, perumpamaan petunjuk dan ilmu yang aku diutus Allah dengannya adalah seperti hujan yang turun di atas bumi. Sebahagian adalah tanah baik yang boleh menghisap air dan menumbuhkan rumput. Sebahagiannya pula tanah keras yang dapat menahan air. Allah memberikan manfaat dengannya kepada manusia untuk minum dan mengalirkan tanaman.

Sebahagiannya pula jatuh ke bahagian lain, yang berupa lembah yang tidak dapat menahan air dan menumbuhkan rumput. Yang demikian adalah perumpamaan bagi orang yang memahami agama Allah dan Allah memberi manfaat kepadanya. Seperti yang demikianlah aku diutuskan. Lalu dia memahami dan mengajarnya. Begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu mengangkat kepalanya dan tidak menerima petunjuk Allah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hati yang sensitif terhadap dosa. Gelisah, risau dan takut adalah perasaan semula jadi pada diri manusia. Jika kita berdosa apakah perasaan itu boleh muncul di permukaan hati? Atau tenggelam bersama rasa ego dan takbur kerana berasa diri sudah sempurna? Hamba yang dikasihi Allah SWT memiliki kepekaan yang tinggi terhadap dosa dan maksiat. Dia menjadi orang yang paling teliti menjaga kesempurnaan ibadatnya, kebersihan hatinya dan sepak terajang perilaku terhadap sesama manusia.

Tiga aspek ini menjadi satu sistem penilaian yang berterusan sepanjang hidupnya. Ia sentiasa mengingati hari pertanggungjawaban atas segala perbuatan. Sabda baginda SAW yang bermaksud: "Kedua kaki hamba tak akan berganjak sehingga dia ditanya mengenai umurnya yang sudah dihabiskan, mengenai amal yang sudah dikerjakan, mengenai harta di mana dia mendapatkannya dan untuk apa dibelanjakan dan mengenai tubuh badannya untuk apa dia gunakan." (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi). Bukankah perkara itu sungguh berat? Adakah kita sentiasa mengingati keempat-empat urusan yang besar itu setiap hari?

Menjadikan dunia ini sebagai matlamat untuk mendapatkan cinta dari-Nya. Untuk apa harta itu? Mengapa kita berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan kejayaan? Jika Saidina Muaz bin Jabal masih hidup lagi, mungkin beliau akan menjawab persoalan itu.

Tetapi eloklah kita mengingati kembali detik kematiannya sambil meneliti kata hikmah yang menyimpan sejuta inspirasi bagi hamba Allah SWT yang mahu memahami falsafah kehidupan ini. Muaz berkata: ‘Aku berlindung kepada-Mu Ya Allah daripada seksaan api neraka. Rabbi, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa aku tidak menyukai kehidupan ini kerana tanamannya yang hijau mahupun sungainya yang mengalir atau rumah dan istananya yang indah, akan tetapi aku menyukai kehidupan ini hanya kerana tiga perkara, iaitu saat-saat berjuang di atas jalan Mu, ketika berkumpul dengan ulama demi menuntut ilmu-Mu dan saat menundukkan wajahku di hadapan-Mu." Indahnya sebuah ungkapan, syair kasih seorang hamba Allah yang sudah memiliki cinta Tuhannya.
Sumber: Berita Harian (19 Mac 2007)

No comments:

Post a Comment